Pesanan: Duhai Sohabat..KEUTAMAAN dan KASIH SAYANG IBU..pulanglah..
Ba’da tahmid wassalam
AlhamdulilLAH, biiznilLAHI Ta’ala,
saya punya peluang untuk menulis secoret dua pada kali ini.
AlhamdulilLAH, hati saya terdetik setelah sekian lama untuk
menyampaikan pesanan ini buat seorang yang saya hormati
atas curahan serta pengongsian ilmu yang saya peroleh sewaktu
di perantauan, moga ALLAH merahmatinya. Sungguh saya
tiadalah maklum akan asal usulnya yang hakiki, bahkan tiada
peluang untuk berdiskusi lagi namun insyaALLAH moga ALLAH
berikan ia kesempatan mengamati penulisan ini.
Saya menerima perkhabaran akan keadaan bondanya kini
dalam kondisi kesihatan yang amat butuh akan penjagaan
dan pemerhatian rapi. Saya menerima perkhabaran yang
bondanya amat rindu akan si anak yang ALLAH Ta’ala
karuniakan ia banyak kelebihan itu, bahkan seluruh famili
amat menanti lagi mengharapkan kepulangannya ke
pangkuan mereka. “Pulanglah..” demikianlah rintihan
yang tak lekang di bibir mereka.
Saya bukanlah seorang yang ‘aalim benar, dan tiadalah
punya kelayakan ilmu yang setimpal dengannya. Namun,
alhamdulilLAH moga hati ini senantiasa hidup, kerana
masih ingat pesan seorang al akhyar “hati yang mati tidak
akan mampu menghidupkan hati-hati yang lain.” Selaku
seorang Muslimah, saya juga punya naluri kewanitaan,
saya juga bisa merasai apa yang tersirat di hati seorang
Muslimah, bahkan saya kasih akan semua saudari Muslimah
saya, baik tua mahupun muda, baik jauh dekat, baik saya
kenal atau tidak, namun kasih saya insyaALLAH tidak
akan terlerai sebab istimewanya kita punya ikatan yang
amat istimewa iaitu ‘aqidah. Ingin sekali saya ziarahi dan
bantu si ibu itu juga mana-mana saudari saya yang butuh
pertolongan dan perhatian, atas kasih Muslimah bersaudara,
ada nya rasa amanah, sebab kami seaqeedah. InsyaALLAH
sama-sama mendo’akan kebaikan baginya sefamili meskipun
saya tiada begitu ‘ariff akan kalian sedalamnya.
Baiklah, mari kita renungi sebuah hadith dari Abu Hurairah,
dia berkata, telah datang kepada RasuluLLAH sholla ALLAHu
‘alaihi wassalam, seorang laki-laki lalu bertanya:
"Wahai Rasulullah, siapakah yang lebih berhak untuk saya pergauli dengan baik?"
Baginda menjawab, "Ibumu" dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?"
Baginda menjawab, "Ibumu" dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?"
Baginda menjawab, "Ibumu" dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?"
Baginda menjawab, "Ayahmu".
-(HR Muslim)
Sohabatku yang dirahmati ALLAH,
alhamdulilLAH, dari hasil pembacaan saya pada ulasan yang
disampaikan al fadhil KH Abdullah Gymnastiar (Aa Gym).
Ia huraikan betapa dari isi hadith tersebut, jelas nampak betapa
ALLAH melalui RasululLAH menilai besarnya pengorbanan
orang tua kita terutama ‘ibu’. Apa yang sudah ibu berikan
kepada anaknya tidak dapat dibandingkan dengan apapun
di dunia ini.
Orang tua, terutama ibu harus selalu kita hormati sepanjang
hidup kita. Walaupun itu bukan orang tua kita sendiri. Kalau
kita menghormati semua orang tua, bererti kita menghormati
orang tua kita. Begitu juga bila kita memaki orang tua yang
bukan orang tua kandung, maka bererti kita memaki orang tua
kita sendiri.
Sohabatku yang murah berkongsi ilmunya,
Memuliakan orang tua kita bukan dengan memberinya harta
yang berlimpah. Tetapi akhlaq yang baik dari anak-anaknya
sudah membuat orang tua kita damai dan senang. Harta tidak
dapat dibandingkan dengan kemuliaan akhlaq yang baik,
begitulah ulasan ustaz.
Seterusnya lagi,
Kita sebagai anak harus memohon, berjuang sekuatnya kepada
ALLAH apabila orang tua kita belum mendapat hidayah dari
ALLAH. Dan kita harus selalu menerima segala kekurangan
orang tua kita dengan lapang dada. SubahanalLAH, wal
hamdulilLAH wa la ilaha illa ALLAH, ALLAHu Akhbar!
Sohabat yang khair ilmunya,
Berikut saya kongsikan sebingkis do’a yang saya kira amat
besar pengertian dan manfa’atnya insyaALLAH, yang saya
petik daripada buku “Manajemen Qalbu” karya al fadhil
ustaz KH Abdullah Gymnastiar. Ia juga saya tujukan khas
buat sohabat yang ibu bapanya sungguh kasih dan rindu akan ia,
yang mereka menantikan kepulangannya dengan penuh sabar.
DOA UTK ORANG TUA
BismilLAH..
Ya ALLAH,
Rendahkanlah suaraku bagi mereka,
Perindahlah ucapanku di depan mereka.
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
Lembutkanlah hatiku untuk mereka.
Ya ALLAH,
Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya
Atas didikan mereka padaku dan
Pahala yang besar
Atas kesayangan yang mereka limpahkan padaku,
Peliharalah mereka
Sebagaimana mereka memeliharaku.
Ya ALLAH,
Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan,
atau kesusahan yang mereka derita kerana aku,
atau hilangnya sesuatu hak mereka kerana perbuatanku,
jadikanlah itu semua
Penyebab rontoknya dosa-dosa mereka,
Meningginya kedudukan mereka dan
Bertambahnya pahala kebaikan mereka dengan
perkenan-MU, ya ALLAH
sebab hanya ENGKAU-lahyang berhak membalas
kejahatan dengan kebaikan berlipat ganda.
Ya ALLAH,
Bila magfirah-MU telah mencapai mereka sebelumku,
Izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku.
Tetapi jika magfirah-MU lebih dahulu mencapai diriku,
Maka izinkahlah aku memberi syafa'at untuk mereka,
sehingga kami semua berkumpul
Bersama dengan santunan-MU
di tempat kediaman yang dinaungi kemulian-MU,
ampunan-MU serta rahmat-MU.
Sesungguhnya ENGKAU-lah
yang memiliki Karunia Maha Agung,
serta anugerah yang tak berakhir dan
ENGKAU-lah yang Maha Pengasih di antara
semua pengasih.
****
Sohabat yang bagus bicaranya,
Mari kita kenang dosa kepada orang tua kita.
Siapa tahu hidup kita dirundung nestapa kerana kedurhakaan kita.
kerana kita sudah menghisap darahnya, tenaganya, airmatanya, keringatnya.
Istighfar, istighfarlah
Barangsiapa yang matanya pernah sinis melihat orangtuanya.
Atau kata-katanya sering mengiris melukai hatinya,
atau yang jarang memperdulikan dan mendoakannya.
Percayalah bahwa anak yang durhaka siksanya di dahulukan didunia ini.
Istighfar yang pernah mendholimi ibu bapaknya.
AstaghfiruLLAHal Adhiim
*Buat sohabat yang dihormati , “pulanglah…” ada yang menanti,
yang amat butuh kehadiranmu di sa’at ini, kasihanilah bonda..
ingatlah..ya sohabat…biar apa orang kata, asal diri tak seperti
yang dikata, biar apa orang sangka asal diri tak seburuk yang
disangka. Apa dibimbangi marah dan benci orang, bukankah
MURKA ALLAH lagi MESTI diambil perhati?
Saya insyaALLAH faham, meskipun agak asing bagi saya:
Kejadian anak-anak rasa marah pada ibu bapa adakalanya sukar
terelakkan dek hakikat wujud perbedaan antara orang muda dan
mereka yang lebih berusia: ibu bapa. (*teringat subjek sejarah melayu
berkait: gagasan Kaum Muda dan Kaum Tua di tanah Melayu yang sering
tidak seiring pandangan..walLAHU’ALAM).
Bak kata ustaz kapten Hafiz Firdaus AbdulLAH..
“Apa sahaja yang mereka lakukan ada saja yang tak kena,
malah benda yang mereka tak buat juga ada yang tak kena !
TIDAK memarahi mereka adalah tuntutan agama yang sebenar
tetapi akui sahajalah, kita orang muda memang cepat marah.
Maka jika telah TERmarah, beranikanlah diri untuk meminta
maaf kerana orang yang sudah tua sangat mudah lagi suka
menerima maaf..”
WalLAHU Ta’ala ‘Alam. Moga ada khairnya, insyaALLAH.
IhfazhilLAH, yahfazhka!
Asifi jiddan ya sohabatil ‘akhyar,
inni al faqiirah ila ALLAH Ta’ala.
Wassalamu bilkhair ajma’in. Do’akan UMMAH sama ya!
al mukhlisah,
Bintu Yusof,
24 Rabi al Akhar 1428H (Juma’at)
IPBA, Kuala Lumpur, MALAYSIA.
p/s: Inna lilLAHI wa inna ilaihi rajiuun.
Sekembali saya usai isya’ di Musholla al Irsyad,IPBA
papa hubungi saya, lantas memaklumkan ‘ayah Ngoh’
iaitu bapa saudara saya yang juga abang papa, telah kembali
ke rahmatulLAH pada 8hb Ogos 2007, hari pertama saya
menduduki peperiksaan, namun papa rahsiakan dahulu
hinggalah hari ini, apabila peperiksaan tamat baharu saya maklum.
Ayah Ngoh yang nama sebenarnya Deraman ibnu Embong,
merupakan bapa saudara, seorang duda dan bapa tunggal yang
menjaga serta bantu urus nenda saya tercinta di kampung.
Moga kesejahteraan dan kasih ILAHI mengiringnya, amiin.
Al fatihah..
Satu lagi persoalan yang bermainan di kotak fikri saya,
bagaimana dengan nenda?
Papa tenangkan saya, ‘usah khuatir, insyaALLAH…”
Moga ALLAH rahmati segala, walLAHU Musta’an.
*Hargailah insan yang masih ada selagi ALLAH menghadirkan
peluang bagi kita, walLAHU’ALAM.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home