IhfazhilLah Yahfazhka
BismilLAH, alhamdulilLAH, wassolatu wassalamu ‘ala RasulilLAH s.a.w.
Assalamu’alaykum warahmatulLAHI Ta'ala wabarakatuh,
Syukur kehadrat ALLAH Subahanahu wa Ta’ala, dengan izin-NYA, dikurniakan sekelumit senggangan masa pada malam ini untuk saya mencoretkan kalam di laman “Perantau Akhirah, Musafir Perjuangan” ini.
AlhamdulilLAH, minggu ini kalendar semester terakhir saya di Universiti of Auckland bermula, pengurusan masa yang berhikmah dan terancang amatlah perlu bagi saya, memandangkan perbilangan masa di sisi amatlah mungil berbanding kadaran tugasan pada diri, walLAHU Ta’ala ‘Alam. Moga-moga dipermudah, diperingan dan dipercerah segala urusan buat diri dan sekitar, insyaALLAH, walLAHU Musta’an.
AlhamdulilLAH, amatlah suka dan ringan rasa di hati saya untuk berkongsi mutiara tazkirah yang sempat saya jamahi dalam ziarah menjengah sohabat sohabiah juga adik-adik pelajar di Wellington pada percutian yang lepas.
Bingkisan kerohaniah yang mengisi salah satu lubukan jiwa tatkala menginap di rumah Kak Aidah (yang nyatanya alhamdulilLAH, banyak benar budi dan jasa, indah akhlaq juga peribadinya, moga ALLAH Ta’ala membalasi keluhuran kakak pada saya, insyaALLAH, amiin, ia amatlah saya hargai kerana ALLAH, alhamdulilLAH.), iaitu sebuah buku milik kakak, yang sempat diri ini belek dan baca biarpun masa amatlah mencemburui, walLAHU ‘Alam.
Judul: Jagalah Allah! Allah Menjagamu
Judul Asli: IhfazhilLAH Yahfazhka!
Penulis: Dr. A’idh bin AbdulLAH al Qarni
Penerbit: Darul Haq
“ Agama ALLAH berisi perintah dan larangan. Ada perintah dan larangan yang berlaku untuk hati, lisan, penglihatan, pendengaran, perut dan anggota-anggota tubuh badan yang lain. Pelbagai perintah dan larangan itu semestinya dipelihara oleh hamba, dengan melaksanakan perintah-perintah dan menjauhi larangan-larangan tersebut. Pendek kata, setiap persendian manusia diperintahkan untuk berTAQWA.
Apa yang diperintahkan ALLAH itulah yang paling dicintai-NYA, dan apa yang dilarang ALLAH itulah yang paling dibenci-NYA, maka ALLAH Subahanhu wa Ta'ala menaruh cinta kepadanya. Dan apabila ALLAH Ta'ala mencintainya, maka sebagaimana disebutkan dalam hadith Qudsi:
‘Tidaklah hamba-KU mendekati-KU dengan suatu pekerjaan yang lebih AKU sukai daripada dia mengerjakan apa yang AKU telah fardhukan keatasnya. Dan sentiasalah hamba-KU mendekatkan dirinya kepada-KU dengan melakukan yang sunat sehingga AKU cinta kepadanya. Maka apabila AKU telah mencintainya, adalah AKU-lah yang menjadi pendengarannya yanq ia mendengar dengannya, dan penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan tangannya yang ia tamparkan dengannya, dan kakinya yang ia berjalan dengannya; Dan sesungguhnya, jika ia meminta kepada-KU, nescaya AKU berikan kepadanya; Dan sesungguhnya, jika ia memohon perlindungan kepada-KU nescaya AKU berikan perlindungan kepadanya’
(Hadith Riwayat Imam Bukhari ).
Dengan kata lain, ALLAH Subahanahu wa Ta'ala sentiasa menjaganya dan menolongnya, sebagai balasan atas penjagaan dan pertolongan yang diberikannya kepada agama ALLAH.
Inilah jua kira-kira makna daripada ayat-ayat di atas dan wasiat Rasulullah Shallallahu'alaihi wa sallam kepada Ibnu 'Abbas radhiyallahu'anhu :
"Jagalah ALLAH, nescaya ALLAH akan menjagamu (IhfazhilLAH Yahfazhka!). Jagalah ALLAH nescaya engkau akan dapati ALLAH berada di hadapanmu."
(HR. Tirmidzi no. 2516 dan dishahihkan oleh Al Albani dalam Shahiihul Jaami' no. 7957) ).
Maka barangsiapa menjaga ALLAH Subahanahu wa Ta’ala dengan menjaga agama-NYA, istiqomah di atas agama-NYA, saling nasihat-menasihati hati dalam menetapi kebenaran, dan bersabar di atas agama-NYA, nescaya ALLAH TA’ALA akan menolong mereka, mengukuhkan mereka atas musuh-musuh mereka, dan menjaga mereka dari tipu daya (makar) musuh musuh mereka.
ALLAH Subahanahu wa Ta’ala berfirman yang bermaksud:
"Dan KAMI selalu berkewajiban menolong orang orang yang berIman."
(QS. Ar Ruum; 30:47).
Dan orang-orang yang beriman adalah mereka yang istiqamah di atas agama(syariat) ALLAH, memelihara hak-hak-NYA, dan menjauhi pelbagai larangan-NYA. WalLAHU Ta'ala 'Alam."
Moga ada khairnya, insyaALLAH.
Akhirul kalam..
Saya memetik firman ALLAH Subahanu wa Ta’ala yang bermaksud:
"Hai orang orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) ALLAH, nescaya DIA akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."
(Q.S. Muhammad; 47:7).
Ayat yang mulia ini merupakan satu seruan kepada seluruh kaum Mukminin. Di dalamnya ALLAH Subahanahu wa Ta’ala menjelaskan bahawa jika mereka menolong ALLAH Ta’ala, nescaya ALLAH akan menolong mereka.
WalLAHU ‘Aadilin (Maha ‘Adil) wa HUWA As SAMAD (ALLAH adalah TUHAN yang bergantung kepada-NYA segala sesuatu).
Bersamalah do’akan kesejahteraan, kejayaan dan keamanan buat Ummah! InsyaALLAH, amiin.
Hingga bersua kembali di coretan mendatang, insyaALLAH, walLAHU'Alam.Saamih ni ‘ala kulli hal, wassalamu bilkhair ajma’in.
al faqiirah ila ROBBIha,
Bintu Yusof,
25 Jumada Al Akhirah 1427H (Fri)
TRC, Downtown, Auckland, Nueva Zelanda.
p/s: Salam, kehadrat saudara/ri seaqeedah yang dirahmati ALLAH, maafkan saya, dek kesuntukan masa, tiadalah dapat saya menyempurnakan hajat saya untuk menintakan coretan pengalaman percutian saya di webjournal (online diary) buat pengongsian sesama kita, namun insyaALLAH mudah-mudahan rencah tintaan ilmiah yang lebih bermanfa’at bisa menjadi galang gantinya, alhamdulilLAH, saya telah sempurna taipkan do’a Qunut yang indah oleh Mishari Rashid al-Afasy di sana; yang boleh dijadikan bacaan do’a usai solat atau bila-bila masa jua, moga bermanfa’at, walLAHU’ALAM. Sekali lagi saya mohon maaf, saamih ni. BarakalLAHUlakunna!
0 Comments:
Post a Comment
<< Home